KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa sekatan yang dikenakan kerajaan menyebabkan peranan pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN) dalam memperjuangkan isu-isu rakyat seolah-olah tidak kelihatan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia boleh dilihat dalam beberapa situasi antaranya ketika ahli Parlimen pembangkang cuba membangkitkan isu rakyat di Dewan Rakyat tetapi dikenakan tindakan seperti digantung.
Selain itu, kata beliau, tekanan turut dikenakan ke atas pempengaruh yang cenderung kepada pembangkang di media sosial seperti di panggil pihak berkuasa.
Dalam masa sama pembangkang turut dikenakan shadow banned di media sosial yang mana isu-isu yang dibangkitkan pemimpin mereka tidak sampai sepenuhnya kepada rakyat seperti tidak dilaporkan secara meluas atau dengan tepat.
Malah Tun Faisal turut mengambil contoh bagaimana wawancara beliau sendiri bersama media arus perdana turut hilang di platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan X pada hari sama ia disiarkan.
“Daripada segi PN setiap hari kita bercakap pasal isu rakyat, setiap hari pemimpin kita mengkritik kerajaan. Jadi untuk mengatakan pemimpin PN tidak jalankan peranan mereka dengan berkesan (tidak betul)…mereka bercakap tentang rakyat.
“Tetapi sekatan yang dibuat kerajaan ini telah seolah-olah menjadikan peranan kita (PN) tidak nampak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan Bersatu di sini hari ini.

Berhubung isu sama, Tun Faisal membidas pihak penyokong kerajaan atau backbenchers di Parlimen hari ini yang disifatkan beliau tidak menyentuh mengenai isu-isu rakyat atau dalam negara.
Ujar beliau, situasi itu berbeza ketika era pentadbiran kerajaan di bawah PN dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mana backbenchers turut memainkan peranan mengangkat isu-isu berkaitan rakyat.
“Tetapi kali ini saya tidak nampak benda yang sama melainkan mereka menyokong apa sahaja yang dilakukan kerajaan termasuk dalam perkara yang tidak betul,” katanya. – MalaysiaGazette