Antara dadah disyaki heroin yang dirampas dalam serbuan tersebut.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pemprosesan dadah selepas merampas heroin bernilai RM105,600 dalam operasi khas di sekitar bandar raya ini dan Kulim, Kedah pada Isnin lalu.

Serbuan pukul 10 pagi hingga 7 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang turut membawa kepada tangkapan empat suspek termasuk seorang wanita tempatan berusia lingkungan 24 hingga 37 tahun.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek pertama iaitu seorang lelaki ditahan di tepi jalan di kawasan bandaraya ini bersama 10 bungkusan mengandungi serbuk dan ketulan disyaki heroin seberat 4.5 kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggarkan RM43,200.

Sindiket aktif sejak pertengahan tahun lalu.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah premis cuci kereta di Bayan Lepas dekat sini sebelum merampas 15 bungkusan heroin seberat 6.5kg bernilai RM62,400.

“Bertindak atas maklumat risikan, kita menahan dua lagi suspek lelaki dan seorang wanita secara berasingan di Kulim, Kedah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Alwi, pemeriksaan ke atas lokasi serbuan kedua itu membawa kepada penemuan pelbagai peralatan pemprosesan dadah.

“Secara keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM318,600 dan siasatan awal juga mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu.

“Selain itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah lmanakala dua lagi mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 3 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here