KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menerima sebarang laporan setakat ini berhubung tindakan peniaga yang cuba menjual lesen tapak bazar Ramadan atau Aidilfitri kepada pihak lain.
Bagaimanapun, Menteri Wilayah, Dr. Zaliha Mustafa berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung tindakan menjual lesen itu boleh membuat laporan sama ada kepada pihak polis atau DBKL.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat bukti berlaku amalan ‘ali baba’ tersebut termasuk membatalkan serta-merta lesen peniaga.
“Saya tegaskan balik, jika ada aduan dan kita dapati ia-ia benar berlaku, kita akan ambil tindakan tegas kepada dua-dua pihak iaitu pemberi dan penyewa.
“Kita akan batalkan dan senarai hitamkan mereka, amaran keras ini diberikan kerana kali ini kita mahu pelaksanaan bazar ini betul-betul berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan media berkenaan pelaksanaan Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Zaliha berkata, bagi memastikan tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri tersebut benar-benar dikendalikan oleh peniaga yang mendapat lesen secara sah, pegawai penguat kuasa yang bertugas akan melakukan pemeriksaan sepanjang masa.
Ia katanya, termasuk memastikan peniaga yang diberikan lesen berada dan berniaga di gerai masing-masing.
Kepada soalan berkenaan harga makanan pula, Dr. Zaliha berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan harga yang dijual di bazar Ramadan lebih rumah berbanding di lokasi lain.
“Harga makanan di bazar Ramadan seharusnya lebih rendah berbanding di tempat lain sebab kita sudah beri tapak pada harga sewa yang sangat rendah,” katanya. – MalaysiaGazette