Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dalam sidang media, hari ini.

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya terdapat arahan untuk menghapuskan tulisan Cina pada papan tanda di Jalan Petaling adalah tidak benar dan hanya spekulasi jahat yang tidak berasas sama sekali.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin, sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan perkara tersebut sekali gus membuktikan bahawa tuduhan yang tersebar adalah tidak berlandaskan fakta.

“Saya ingin tegaskan bahawa dakwaan ini adalah rekaaan semata-mata. Kerajaan sentiasa menghormati kepelbagaian budaya dan identiti setiap kaum di Malaysia, selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, DBKL memaklumkan papan tanda yang dipasang di kawasan penjaja Jalan Petaling mematuhi garis panduan dasar ditetapkan dan pihaknya tidak bercadang untuk hapuskan tulisan Cina seperti didakwa segelintir.

Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri turut menggesa pihak yang menyebarkan dakwaan tidak berasas itu agar bertanggungjawab dan memohon maaf kepada komuniti yang terkesan.

Menurutnya, sebagai pemimpin yang berpengalaman dalam arena politik, seseorang harus lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada umum.

“Penyebaran berita palsu seperti ini bukan sahaja mencetuskan keresahan dalam masyarakat tetapi juga boleh merosakkan perpaduan.

“Dalam keadaan politik dan sosial yang semakin mencabar, semua pihak harus lebih berwaspada sebelum mengeluarkan kenyataan yang berpotensi memecahbelahkan rakyat,” tegasnya.

Azman menekankan kepelbagaian budaya dan identiti kaum di Malaysia harus terus diraikan seperti yang terkandung dalam ikrar Rukun Negara.

Beliau menyeru agar tiada pihak yang cuba memanipulasi isu-isu sensitif demi kepentingan politik sempit.

Malah Azman juga memberi jaminan  kerajaan MADANI komited dalam memastikan perpaduan masyarakat terus dipelihara daripada sebarang ancaman pihak tidak bertanggungjawab. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here