JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bakal menubuhkan sebuah sekretariat khas bagi membincangkan hal ehwal pembangunan Felda di Johor.
Pengerusi Jawantankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, tujuanya bagi memastikan kebajikan dan kepentingan lebih 180,000 warga Felda di 73 kawasan rancangan Felda seluruh Johor terus terpelihara.
Jelasnya, langkah berkenaan adalah satu usaha proaktif dan inisiatif bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mendengar secara terus permasalahan serta harapan komuniti Felda di negeri ini.
“Sekretariat ini akan menjadi platform utama dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Johor dan Felda supaya segala isu yang timbul dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Kasap memberitahu, keanggotaan sekretariat itu akan melibatkan pemimpin di setiap peringkat pengurusan Felda.
“Ini termasuk wakil peneroka, generasi belia, wanita, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Felda,” katanya lagi.
Justeru katanya, kesemua pihak akan memainkan peranan penting dalam memastikan segala perancangan dan pelaksanaan program pembangunan Felda berjalan dengan lancar serta menepati keperluan masyarakat setempat. – MalaysiaGazette