KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan Senario, Azlee akhirnya berkongsi khabar gembira mengenai sahabatnya, Yassin Yahya.
Menurut pelawak senior itu, isteri Yassin, Farah Waheeda Maharidan memaklumkan pelawak, pelakon dan penyanyi itu kini berada dalam keadaan baik.
“Saya tidak dapat menghubungi Yassin, tetapi isteri dia beritahu Yassin berada dalam keadaan sihat. Doakan yang baik-baik buat Yassin.
“Tunggu khabar gembira beberapa minggu lagi, kita akan bersama dengan dia. Doakan semoga dia akan bersama dengan kami,”katanya ketika ditemui pada sidang media pengumumannya sebagai Duta Bazaar Raya Shah Alam 2025 baru-baru ini.
Walaubagaimanapun, Azlee enggan mengulas mengenai keberadaan sahabatnya itu.
Namun, beliau meluahkan rasa cemburu kerana adik bongsu dalam Senario itu berada di tempat yang lebih baik.
“Dia pun sedang menambah ilmu, ilmu ALLAH ini banyak yang perlu kita tambah. Jadi dia sedang menuntut ilmu, mana tahu nanti dia pulang, dia ajar kita pula.
“Tidak kisahlah di mana dia berada, sekali lagi doakan yang baik-baik,” tambahnya.
Sebelum ini dilaporkan, seorang pelawak popular tanah air yang ditahan di Jeddah, Arab Saudi pada Oktober lalu atas kesalahan dadah.
Ekoran itu, pelawak itu dipenjarakan selama enam bulan.
Sejak penahanannya, pihak Kedutaan Besar Malaysia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah memberikan bantuan konsular kepada warga Malaysia terbabit.-MalaysiaGazette