Ahmad Fadhli Shaari.-Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia seharusnya berfungsi sebagai sebuah badan kawalan kendiri yang bebas daripada pengaruh kerajaan, sebagaimana yang diamalkan di banyak negara demokrasi lain.

Namun, keputusan kerajaan untuk melantik dua orang wakil kerajaan ke dalam majlis ini menimbulkan kebimbangan besar kerana ia bertentangan dengan prinsip asas kawalan kendiri, kata Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Katanya, dalam konteks kebebasan media, kewujudan wakil kerajaan dalam badan ini membuka ruang kepada campur tangan politik yang akhirnya boleh melemahkan peranan majlis tersebut sebagai kawal selia yang sah dan bebas.

“Sebagai perbandingan, negara-negara yang mengamalkan kebebasan media dengan baik seperti United Kingdom dan Jerman tidak membenarkan kerajaan campur tangan dalam badan kawalan kendiri industri media.

“Di United Kingdom, Independent Press Standards Organisation (IPSO), yang bertanggungjawab mengawal selia etika kewartawanan, terdiri sepenuhnya daripada wakil media dan profesional berkaitan, tanpa penglibatan langsung kerajaan.

“Peranan kerajaan hanyalah menyediakan rangka undang-undang umum, tetapi tidak mempunyai kuasa melantik ahli atau mempengaruhi keputusan badan ini. Begitu juga di Jerman, di mana Deutscher Presserat (Majlis Akhbar Jerman) dikendalikan sepenuhnya oleh industri media sendiri tanpa campur tangan kerajaan.

“Badan ini berfungsi sebagai pengawal selia kendiri yang memastikan media bertanggungjawab dalam melaporkan berita berdasarkan kod etika yang ditetapkan oleh pengamal media sendiri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata, model kawalan media dengan campur tangan kerajaan lebih ketara di negara-negara yang mengawal kebebasan bersuara, seperti China dan Rusia.

Di China kata beliau, Suruhanjaya Penerbitan dan Media berada di bawah kawalan kerajaan dengan pegawai kerajaan berperanan besar dalam menentukan kandungan yang boleh dan tidak boleh diterbitkan.

Begitu juga di Rusia katanya, di mana kerajaan menggunakan Roskomnadzor (Perkhidmatan Penyeliaan Komunikasi, Teknologi Maklumat dan Media Massa) untuk menyekat media yang dianggap tidak sehaluan dengan dasar kerajaan.

“Kehadiran wakil kerajaan dalam Majlis Media Malaysia, jika tidak dikawal, boleh membawa kepada pendekatan yang sama di mana kebebasan media dikekang dan hanya naratif tertentu yang dibenarkan untuk didengar oleh rakyat.

“Jangan pula kita terikut-ikut dengan dasar pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengambil langkah yang menimbulkan kebimbangan mengenai kawalan ketat ke atas media di Amerika Syarikat,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, Perikatan Nasional berpendapat bahawa Majlis Media Malaysia harus bebas sepenuhnya daripada pengaruh kerajaan agar ia berfungsi sebagai badan kawalan kendiri yang sahih.

Katanya, jika kerajaan benar-benar menghormati kebebasan media, mereka harus menarik semula pelantikan wakil kerajaan dan membiarkan pengamal media sendiri yang menguruskan etika dan kawal selia industri ini.

“Ini bukan sahaja mengembalikan keabsahan majlis sebagai badan “self-regulation”, tetapi juga menjadikan Malaysia lebih selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa dalam memastikan media yang bebas dan bertanggungjawab,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here