MELAKA – Terdapat 14 kesan tikaman termasuk satu menembusi pembuluh darah utama pada tubuh wanita yang dibunuh kekasihnya di sebuah rumah teres di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Malim di sini Ahad lalu.
Tikaman pada saluran yang membawa darah dari jantung ke seluruh tubuh wanita berusia 52 tahun itu diperoleh hasil keputusan bedah siasat selama lapan jam yang dilakukan pakar Perubatan Forensik Hospital Melaka pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, si mati mengalami 14 luka tikaman iaitu tiga di muka, 10 di dada, lengan dan tangan serta satu tikaman pada betis kanannya.

“Terdapat juga kesan luka hiris pada bahagian dada dan tangan kiri serta kesan lebam di bahagian dahi si mati. Punca kematian adalah satu tikaman di dada kiri yang telah menembusi aorta interkostal kedua dan menembusi sehingga ke ascending aorta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Chrisptoher, ia menyebabkan pendarahan dan pengumpulan darah dalam kantung jantung sehingga menyebabkan kematian wanita itu yang bekerja sebagai penyanyi dan pelayan di pusat hiburan.
“Si mati juga disahkan telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam daripada waktu bedah siasatan dijalankan bermula pukul 9 pagi Isnin lalu,” jelasnya lagi.
MalaysiaGazette Ahad lalu melaporkan mangsa yang berstatus isteri orang dan mempunyai tiga anak ditemui berlumuran darah di atas katil bersama suspek yang juga dipercayai kekasihnya dalam bilik rumah sewa itu.
Suspek yang turut cedera dipercayai cuba bunuh diri selepas kejadian itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka sebelum ditahan reman selama tujuh hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.
Difahamkan, mangsa yang beralamat di di Taman Sri Aman, Masjid Tanah mula menyewa di rumah berkenaan sejak enam bulan yang lalu, manakala suaminya menetap di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette