Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengeluarkan notis peringatan kepada 2.1 juta peminjam yang gagal melaksanakan bayaran pinjaman balik mengikut jadual yang ditetapkan sehingga akhir bulan lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sehingga kini tindakan itu berjaya menarik sebahagian peminjam untuk berunding dengan PTPTN.

“Bagaimanapun bagi peminjam yang tidak menghiraukan notis ini, tindakan lebih tegas akan diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jadi, kita harap mereka akan segera datang ke PTPTN bagi mengadakan perbincangan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sehingga 2023, jumlah tunggakan pinjaman pendidikan PTPTN adalah RM10.853 bilion manakala bayaran balik diterima RM3.553 bilion atau mewakili 32.7 peratus.

Trend bayaran balik tunggakan adalah antara 7.3 peratus hingga 79.3 peratus.

Sementara itu, Zambry berkata, buat masa ini, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan inisiatif diskaun bayaran balik PTPTN seperti yang dibuat sebelum ini.

Menurut beliau, inisiatif itu berjaya meningkatkan kutipan bayaran balik, namun kos yang perlu ditanggung kerajaan juga adalah tinggi.

“PTPTN sebaliknya melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara konsisten. Dengan pelaksanaan semula tindakan penguatkuasaa balik bermula Oktober, terdapat impak yang positif dan kita harap semangat bayaran balik ini akan diteruskan peminjam,” katanya.

Mengenai tahap kemajuan penyelidikan di lima universiti penyelidikan (RU) melalui Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) yang turut disentuh dalam LKAN, Zambry berkata, universiti awam sudah diminta untuk mengenal pasti projek yang mempunyai isu untuk dipantau dengan dekat secara holistik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here