Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa segera bertindak segera terhadap pihak yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import yang dijual dengan harga mahal.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, menteri terlibat, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Datuk Armizan Mohd Ali tidak seharusnya bertangguh lagi dalam hal tersebut.

Tegasnya, pihak yang melakukan perbuatan tersebut sama ada kilang-kilang beras, pemborong dan peruncit perlu bertanggungjawab.

“Dua menteri dari dua kementerian yang disebut di atas tidak perlu menunggu Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 ( Akta 522) dibawa ke Parlimen untuk dipinda baru hendak bertindak.

“Ini adalah kerana Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menemui analisa forensik yang saintifik berdasarkan DNA bahawa beras putih tempatan dapat dibuktikan secara saintifik berbeza dengan beras putih import.

“Dengan itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berserta KPDN menggunakan akta-akta yang disenaraikan di bawah ini untuk menyiasat, menangkap dan mendakwa kartel-kartel yang telah menipu rakyat Malaysia selama hampir dua tahun ini.

“Akta-akta tersebut ialah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), Consumer Protection Act 1999 dan Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hassan Abdul Karim

Semalam pihak MARDI memaklumkan, sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).

Ini sekali gus menokhtahkan spekulasi bahawa BPT telah dicampur dalam kampit beras import sebelum dijual di pasaran.

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak dilaporkan berkata, kajian yang menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.

“Kami menerima sampel beras ini daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya,” ujar Mohd Syahril Firdaus.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here