Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Kajian yang mendapati bahawa beras tempatan dicampur dalam pek beras import dan kemudian dijual pada harga tinggi di pasaran merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata, kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bukan sahaja satu bentuk penipuan ke atas pengguna tetapi juga mengancam keterjaminan makanan negara.

Tegas beliau, kelemahan dalam sistem kawal selia industri beras menyebabkan tindakan tidak beretika itu dilakukan pengilang beras.

Katanya, tiada akta khusus yang melarang pencampuran beras putih tempatan dengan beras import menyebabkan eksploitasi berleluasa.

“Lebih parah, kerajaan sendiri masih dalam ‘perbincangan’ untuk memperkenalkan peraturan baharu.

“Dengan kata lain, kerajaan mengaku mereka sedar tentang masalah ini, tetapi masih tidak bertindak tegas. Mungkinkah mereka sedang menunggu lebih ramai rakyat tertipu sebelum bertindak?” soalnya.

Beliau menengaskan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seharusnya menjadi benteng utama dalam memastikan pengurusan beras negara adalah telus dan berintegriti.

Malangnya dakwa beliau, KPKM hanya memberikan kenyataan ‘akan menyiasat’ tanpa tindakan konkrit.

“Kalau dahulu, sudah tentu Pakatan Harapan akan mendesak menteri yang terlibat meletak jawatan. Tapi kali ini, kita tidak mahu desakan seperti itu. Mengapa? Kerana walaupun menteri letak jawatan, jika Perdana Menteri masih orang yang sama, masalah tetap tidak akan selesai.

“Oleh itu, hadap dan selesaikan masalah ini segera sementara masih ada mandat. Jangan tunggu pilihan raya akan datang, kerana selepas itu, boleh jadi kamu tidak lagi punya peluang untuk bertindak,” katanya.

Media semalam melaporkan, kajian terbaru oleh MARDI mendapati bahawa 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang diuji didapati telah dicampur dengan beras putih tempatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here