KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan menggesa kerajaan mencari penyelesaian terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di hadapan Institut Jantung Negara (IJN).
Menurut beliau, kesesakan yang semakin serius di kawasan itu bukan sahaja menyusahkan pengguna jalan raya, malah memberi kesan kepada pesakit dan ambulans yang perlu keluar masuk ke IJN.
“Kawasan ini merupakan lokasi kritikal kerana ia menjadi laluan utama pesakit serta kenderaan kecemasan. Kesesakan lalu lintas yang berlaku boleh menjejaskan nyawa pesakit yang memerlukan rawatan segera. Mungkin satu hari kita sendiri jadi mangsa.
“Kadar kesesakan ini berada di tahap sangat teruk dan membimbangkan. Saya berharap Kementerian Wilayah dan pihak berkuasa berkaitan dapat mencari jalan penyelesaian yang efektif agar keselesaan dan keselamatan pesakit tidak terjejas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa mengalu-alukan cadangan tersebut
“Insya-Allah saya akan buat ‘engagement’ dengan KKM dengan kita boleh bekerjasama. DBKL bukan hanya berfungsi local autoriti tapi juga perkara berkaitan dengan hal-hal ‘state’ juga,” ujarnya. – MalaysiaGazette