GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung kes doktor sebuah hospital di sini ditahan semalam susulan berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja.
Pengarahnya, Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata, JKNPP memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai perubatan itu.
“Merujuk kepada kenyataan yang dimuat naik di laman media Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tangkapan penjawat awam bersangkutan kes kelakuan tidak senonoh di tempat kerja dan penjawat awam yang dinyatakan merupakan Pegawai Perubatan yang sedang berkhidmat di fasiliti JKNPP.
“Kita ingin memaklumkan bahawa kes ini adalah di bawah siasatan pihak PDRM dan JKNPP akan memberi kerjasama penuh kepada pihak PDRM dalam membantu siasatan selanjutnya.
“Sehubungan itu, JKNPP memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kes ini sehingga dibuktikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, seorang doktor lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan selepas disyaki berkelakuan tidak senonoh dengan seorang wanita awam di sebuah hospital kerajaan di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek berusia 43 tahun yang juga pegawai perubatan itu ditahan di hospital berkenaan pada jam 9.30 malam, semalam.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 2 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955,” katanya. – MalaysiaGazette