peranan ulama UMNO
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) sepatutnya ditegur oleh pihak berkuassa agama kerana membuat tafsiran sendiri yang menyempitkan maksud potongan ayat dalam Al-Quran.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri ,Datuk Khairuddin Aman Razali berkata demikian membidas dewan tersebut yang menyatakan maksud ‘umat terdahulu berpuasa’ atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam.

“Saya membaca teguran Dewan Ulamak Pas Pusat terhadap ucapan Perdana Menteri tentang maksud ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: ‘diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu’.

“Huraian oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) terhadap maksud ayat ‘sebagaimana’ sudah menepati apa maksud al-Quran sebagaimana dihurai oleh para alim ulamak Islam iaitu ‘persamaan’ dari sudut konsep puasa yang diwajibkan pada umat terdahulu tetapi berbeza pada cara dan perlakuan ibadah yakni ‘ibadah puasa adalah dikenakan dan diwajibkan atas umat-umat terdahulu tetapi dengan cara yang tidak diketahui melainkan oleh Allah’.

“Para ulamak tafsir sepakat bahawa persamaan puasa dengan umat terdahulu ialah pada persamaan kewajipan berpuasa atau pada persamaan konsep puasa iaitu meninggalkan makan dan minum tetapi para ulamak berbeza pendapat adakah ia juga persamaan pada masa dan cara atau tidak? Begitu juga ulamak berbeza pendapat adakah umat terdahulu itu merangkumi agama ‘samawi’ sahaja kerana Arab Jahiliyyah yang menyembah berhala juga berpuasa Asyura sebagaimana Hadis Sahih daripada Aisyah (r.ah) katanya: “Dulunya hari Asyura merupakan hari yang orang-orang Qurasiy berpuasa di zaman Jahiliyyah”,” jelas Khairuddin dalam muat naik di Facebooknya.

Jelasnya, ulamak ketika mentafsirkan ayat berkenaan dengan menyebut tentang puasa orang Kristian yang direka oleh paderi-paderi Kristian bukannya atas dasar ketauhidan.

“Begitu juga puasa Asyura orang Arab Jahiliyyah tentunya bukan atas dasar ketauhidan.

“Justeru, yang disepakati oleh ulama ialah pada ‘persamaan’ dengan umat terdahulu ialah pada hukum kewajipan dan pada konsep berpuasa iaitu meninggalkan makan minum. Adapun lain pada itu menjadi khilaf ulama,” katanya.

Baru-baru ini, DUPP menggesa pihak autoriti agama menegur Perdana Menteri kerana mendakwa telah menyuarakan pandangannya kepada dalil Al-Quran secara tidak tepat dan menyalahi disiplin tafsir.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, ayat berpuasa ‘sepertimana umat terdahulu’ tidak harus menjadi sandaran hujah bahawa orang bukan Islam juga berpuasa sepertimana umat Islam berpuasa.

Sementara itu, Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri menasihatkan DUPP supaya tidak menjadikan perbezaan parti dan ideologi politik untuk mencetuskan polemik dan terus menerus mencari titik-titik berbeza Anwar.

Sebaliknya ujar beliau, semua pihak sepatutnya bekerjasama untuk memperkasakan agama Islam dalam negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here