KUALA LUMPUR – FELDA masih belum menikmati manfaat secara langsung daripada penjualan saham PT Eagle High Plantation Tbk (EHP) berikutan mempunyai tanggungan pinjaman dengan sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tanggungan pinjaman itu ditetapkan untuk tempoh 20 tahun.
“Mengenai manfaat diperoleh FELDA daripada pelaburan, buat masa ini, FELDA masih belum menikmati sebarang manfaat secara langsung.
“Ini kerana FELDA masih mempunyai tanggungan pinjaman dengan GOVCO Holdings Berhad iaitu sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
“Berkaitan nilai pelaburan dalam EHP, benar. Nilai pelaburan terbabit mengalami penurunan. Ini berpunca daripada penurunan harga saham di Bursa Saham Indonesia yang menjejaskan nilai pegangan FIC Properties dalam syarikat berkenaan,” katanya.
Nurul Amin dalam soalannya inginkan kepastian adakah benar jumlah pelaburan bernilai RM2.3 bilion pada 2016 kini hanya bernilai RM200 juta. – MalaysiaGazette