Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membantah cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa untuk mengenakan caj dalam mengurangkan kesesakkan lalu lintas di ibu negara.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Gerakan, Ong Siang Liang berkata, cadangan itu dianggap tidak praktikal, tidak berpandukan penyelesaian bersandarkan penyelidikan selain membebankan rakyat yang tiada pilihan untuk menggunakan jalan raya.

“Saya berpendapat penyelesaian bagi masalah kesesakan trafik di Kuala Lumpur sepatutnya bermula dengan penambahbaikan infrastruktur dan perancangan jalan raya, bukannya menggunakan pendekatan mudah dengan mengenakan bayaran.

“Beliau (Zaliha) sebagai seorang menteri dengan mengemukakan cadangan secara terburu-buru itu, seolah-olah mengelak daripada tanggungjawab dan meletakkan beban kepada rakyat.

“Kalau masalah ini boleh diselesaikan dengan mengenakan caj, kenapa rakyat masih nak ‘membayar gaji tinggi’ kepada para Menteri Madanon?”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siang Liang berkata, keutamaan kerajaan adalah mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur, khususnya memperluaskan dan meningkatkan kecekapan rangkaian transit aliran deras (MRT) , transit aliran ringan (LRT) dan bas transit pantas (BRT).

“Selain itu, perlu mempergiatkan kesalinghubungan destinasi akhir dari stesen tren dan sebaliknya, atau ‘first mile last mile connectivity’ serta memperbaiki beberapa reka bentuk jalan termasuk menaik taraf sistem isyarat lampu trafik bagi memastikan aliran yang lebih lancar,” ujarnya.

Sehubungan itu, kerajaan diseru agar menangani punca isu kesesakan trafik dengan menambah baik pengangkutan awam dan merancang semula sistem jalan raya secara menyeluruh, bukannya bergantung kepada caj kesesakan sebagai penyelesaian.

Terdahulu, Zaliha memaklumkan pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di daerah pusat perniagaan (CBD) sehingga 20 peratus.

Katanya, jangkaan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan caj kesesakan di bandar antarabangsa seperti di London dan Stockholm menunjukkan bahawa pelaksanaan caj tersebut mampu mengurangkan kesesakan sehingga 20 hingga 30 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here