Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Hutang isi rumah negara berjumlah RM1.63 trilion sehingga akhir Disember 2024 di mana bersamaan dengan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, jumlah hutang itu jauh lebih rendah daripada aset kewangan isi rumah yang mencecah RM3.4 trilion atau bersamaan 178.2 peratus daripada KDNK.

“Standard pinjaman berhemat oleh bank berdasarkan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang dilaksanakan sejak 2012 terus memainkan peranan penting dalam memastikan pengumpulan hutang isi rumah terkawal dan selaras dengan keupayaan membayar balik hutang,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat disiarkan di laman sesawang Parlimen di sini hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai langkah kerajaan membantu satu per tiga daripada isi rumah di negara ini yang mempunyai nisbah khidmat hutang (DSR) melebihi 60 peratus dan terdedah kepada risiko muflis jika berlaku peningkatan kadar faedah, kehilangan pekerjaan atau inflasi.

Menjelaskan selanjutnya, MOF berkata menerusi pelaksanaan dokumen dasar ini, DSR bagi isi rumah terus berada pada paras hemat dengan median DSR pinjaman terkumpul di paras 34 peratus manakala median DSR bagi pinjaman baharu diluluskan adalah 41 peratus pada akhir Disember 2024.

“Bagi mengawal pertumbuhan hutang, kerajaan memastikan perumahan kekal mampu milik melalui program seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan PR1MA serta memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih efisien,” kata kementerian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here