Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas selepas kajian mendapati  beras tempatan dicampur dalam pek beras import dan kemudian dijual pada harga tinggi di pasaran ketika ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berpendapat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu sepatutnya mengambil tanggungjawab terhadap isu tersebut dengan meletakkan jawatan.

Tambahnya, jika tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, rakyat boleh merancang untuk memilih pemimpin yang lebih baik pada masa akan datang.

“Tindakan harus diambil kepada semua yang melakukan perkara ini dan dalam masa terdekat ini kita mahu melihat ianya berlaku.

“Kalau tidak berlaku rakyat akan mengambil ini sebagai perjuangan mencari pemimpin yang lebih baik pada masa hadapan.

“Rakan-rakan saya (ahli Parlimen pembangkang) kata menteri perlu letak jawatan untuk mengambil tanggungjawab,” katanya pada sidang media di Parlimen bersama ahli Parlime pembangkang di sini hari ini.

Hamzah turut menegaskan apa yang diketengahkan pembangkang sebelum ini adalah fakta yang dibuat demi rakyat.

Semalam, Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) mendedahkan, kajian mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa telah dicampur beras putih tempatan.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh membezakan antara beras putih tempatan dan import.

“Sebanyak 5,000 sampel diambil secara rawak daripada 55 kampit beras yang dirampas. Setiap satu kampit beras, sebanyak 95 sampel telah diambil. Dalam masa antara tiga dan lima hari, kita boleh buat analisis ke atas 950 sampel,” katanya pada sidang media.

Mohd. Shahril Firdaus berkata tempoh kajian bermula penghujung 2023 hingga Mac 2024 sejak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mewujudkan Pasukan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan untuk mengenal pasti rantaian beras putih tempatan.

“Laporan kajian kita serahkan kepada pihak berkuasa yang hantar sampel kepada kita iaitu Kawalselia Padi Beras (KPB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here