Datuk C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur bukanlah penyelesaian kepada masalah trafik sebaliknya hanya menambah beban rakyat yang ketika ini sudah dibelenggu pelbagai isu.

Menurut Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran, dasar itu tidak praktikal dan tidak adil kerana rakyat tidak mempunyai pilihan lebih baik selain menggunakan kenderaan sendiri.

Katanya, isu utama bukan kerana rakyat memandu terlalu banyak tetapi kerana mereka tidak mempunyai alternatif yang boleh diharapkan.

“Sistem pengangkutan awam kita masih tidak efisien, tidak konsisten dan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan populasi bandar yang semakin meningkat.

“Kereta api sering mengalami gangguan, bas tidak menepati jadual, dan sambungan last-mile masih lemah. Dalam situasi ini, melaksanakan caj kesesakan bukanlah satu penyelesaian tetapi satu hukuman kepada rakyat yang hanya ingin pergi bekerja dan mencari rezeki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kuala Lumpur, Georgetown, Johor Bahru berpotensi laksana caj kesesakan

Kata Sivaraj, ekonomi Malaysia masih rapuh dengan peningkatan kos sara hidup, gaji yang tidak berkembang dan inflasi yang terus menaikkan harga barangan asas.

“Caj ini tidak hanya menjejaskan mereka yang memandu tetapi semua rakyat Malaysia. Tambang perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan InDriver akan meningkat kerana syarikat akan memindahkan kos tambahan kepada pengguna.

“Harga penghantaran makanan juga akan naik apabila pemandu perlu membayar lebih untuk memasuki bandar. Perniagaan yang bergantung pada perkhidmatan kurier dan logistik akan menghadapi kenaikan kos yang akhirnya ditanggung oleh pengguna akhir,” ujarnya.

Tegas Sivaraj,  adalah tidak relevan untuk membuat perbandingan Kuala Lumpur dengan London dan Singapura kerana kedua-dua bandar tersebut telah memastikan sistem pengangkutan awam mereka bertaraf dunia sebelum mengenakan caj kesesakan.

“Di London dan Singapura, rakyat mempunyai pilihan sebenar untuk tidak menggunakan kereta kerana sistem pengangkutan awam mereka boleh dipercayai.

“Sebaliknya di Kuala Lumpur, MRT dan LRT masih mengalami gangguan kerap, bas tidak menentu, dan sambungan terakhir ke destinasi masih menjadi masalah utama,” tegasnya.

Dalam pada itu, Sivaraj berkata, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada pembaikan infrastruktur sebelum mengenakan cukai tambahan ke atas rakyat.

Jalan raya perlu diselenggara dengan baik, banyak jalan berlubang selain permukaan tidak rata semakin menjadi bahaya kepada pemandu.

“Selain itu, pembangunan tidak boleh terlalu tertumpu di Kuala Lumpur sahaja, agar rakyat tidak perlu bergantung kepada bandar ini sebagai satu-satunya pusat ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Sudah tiba masa untuk kerajaan hari ini pertimbang langkah lain untuk menangani kesesakan lalu lintas seperti sistem pengurusan trafik yang lebih pintar, perancangan jalan yang lebih baik dan dasar kerja fleksibel bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

“Daripada memperkenalkan cukai baharu untuk mengisi kantung kerajaan, mengapa tidak memperkenalkan semula GST secara berstruktur dan adil?

“Sistem cukai yang menyeluruh akan lebih berkesan dalam menjana pendapatan negara tanpa menekan pengguna jalan raya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gerakan bantah cadangan caj kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here