Mohd Fared (dua kiri) menyampaikan sijil dalam Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan SDEA, SMRA dan SMA 2024 di Sekolah Agama Bandar Putra, Kulai, hari ini.

KULAI – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membenarkan khidmat imam luar negara untuk solat tarawih di masjid dan surau di negeri ini sepanjang Ramadan ini.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia perlu mendapatkan tauliah khas daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan syarat tauliah khas itu juga terpakai kepada pelajar tahfiz sebagai imam solat tarawih.

“Johor tidak melarang imam luar atau pelajar tahfiz tetapi masjid atau surau hendaklah terlebih dahulu mendapatkan tauliah dengan membuat permohonan kepada JAINJ dalam tempoh enam bulan sebelum Ramadan seperti yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, jika masjid atau surau baru nak hantar permohonan tauliah imam warga asing atau pelajar tahfiz untuk Ramadan tahun ini yang akan disambut beberapa hari lagi, kita tak dapat berikan tauliah dalam masa yang suntuk.

“Ini kerana JAINJ perlu membuat tapisan rapi latar belakang imam warga asing atau pelajar tahfiz yang mahu digunakan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan termasuk keselamatan dan sebagainya selain mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Sultan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) 2024 di Sekolah Agama Bandar Putra, Kulai hari ini.

Sebelum ini, beberapa negeri dilaporkan mengambil pendekatan berbeza dalam isu tersebut di mana Terengganu telah melarang penggunaan imam import untuk solat tarawih manakala Selangor mengekalkan keutamaan kepada imam tempatan.

Ahad lalu, masjid dan surau di seluruh Terengganu dilarang menggunakan imam import daripada negara asing untuk mengimamkan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilaporkan berkata, pengurusan masjid dan surau digalakkan menggunakan khidmat kalangan pelajar tahfiz tempatan bagi mengimamkan solat tarawih.

Langkah itu turut diikuti Selangor yang dilaporkan kekal memberi keutamaan kepada imam tempatan bagi pelaksanaan solat jemaah dan tarawih di semua surau dan masjid di negeri berkenaan sepanjang Ramadan.

Pengerusi Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dilaporkan berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga sudah mengeluarkan arahan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Pahang semalam dilaporkan tidak melarang penggunaan khidmat imam warga asing untuk solat tarawih sepanjang Ramadan  namun perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dilaporkan berkata bagaimanapun, imam tempatan perlu diutamakan kerana itu adalah tugasan rasmi dan mereka mempunyai keupayaan yang baik.

Namun syarat yang perlu dipatuhi ialah mengemukakan permohonan secara bertulis melalui pejabat agama di daerah-daerah untuk mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here