KOTA ISKANDAR – Johor akan memperkukuh hubungan dagang dengan syarikat-syarikat terkemuka Korea Selatan yang berminat melabur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam beberapa sektor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, minat tersebut ditunjukkan syarikat terbabit dalam pertemuan dengan beliau dan wakil kerajaan negeri, di sini, kelmarin.
“Saya berkesempatan menerima kunjungan hormat Duta Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-Bae serta wakil-wakil syarikat terkemuka Korea seperti SK Malaysia, Samsung C&T, Samsung SDS, Hyundai, Kiswire dan SPC Group.
“Pertemuan ini memberikan peluang besar kepada Johor untuk memperkukuh hubungan dagang dan merangka strategi pelaburan yang bakal menggerakkan ekonomi negeri ke arah kemajuan yang lebih pesat.
“Dalam pertemuan ini, kami berbincang mengenai JS-SEZ, pelaburan dalam industri halal serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi Johor Talent Development Council (JTDC).
“Inisiatif ini merupakan bukti jelas komitmen kerajaan negeri menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif, sekaligus menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.
Katanya, pelaburan syarikat-syarikat Korea Selatan itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat Johor.
Menurutnya, sektor seperti pembinaan, teknologi maklumat, tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan bakal menerima manfaat besar daripada kerjasama itu serta mewujudkan lebih banyak peluang bagi anak Johor.
Selain itu katanya, Johor turut menyambut baik hasrat syarikat-syarikat asing berkenaan untuk terus melabur dalam infrastruktur termasuk pembangunan pusat data dan projek pembangunan utama di negeri ini.
“Kepercayaan ini membuktikan Johor semakin diiktiraf sebagai hab pelaburan utama di rantau ini.
“Dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, pelabur antarabangsa serta agensi berkaitan, saya yakin pelaburan ini akan membawa impak positif kepada kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat Johor.
“Semoga hubungan yang kukuh antara Johor dan Korea ini terus berkembang demi manfaat bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette