KOTA TINGGI – Johor menyasarkan tempat pertama dalam pelaburan keseluruhan negara tahun ini menerusi potensi di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi percaya, pembangunan rancak yang sedang berlaku di JS-SEZ ketika ini akan menjadi pemacu negeri itu mencapai hasrat tersebut.
Menurutnya, Johor ketika ini berada pada kedudukan ketiga selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan jumlah pelaburan keseluruhan bernilai RM48.5 billion pada tahun lalu.
Beliau memberitahu, jumlah berkenaan meningkat RM5.4 billion berbanding tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah seperti yang kita semua tahu Johor berada di tangga ketiga dari segi pelaburan keseluruhan, tetapi untuk tahun ini kita akan tingkatkan lagi usaha, insya-Allah untuk menjadi nombor satu.
“Antara faktor yang boleh menyumbang bagi saya terutamanya ialah JS-SEZ ini akan menjadi katalis (pemangkin) untuk menarik pelaburan masuk ke Johor.
“Keduanya ialah dari segi infrastruktur, semua sedia maklum bahawa Sistem Rapid Transit (RTS) Link akan siap pada hujung tahun depan dan mula beroperasi Januari 2027.
“Kita juga telah membuat pelaburan untuk melebarkan beberapa lebuh raya, termasuk Lebuhraya Utara Selatan yang telah bermula (kerja pembinaan), Lebuhraya Senai-Desaru pun sudah mula dilebarkan.
“Pada masa sama kita juga sedang menaik taraf kemudahan dengan pembangunan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) dan pada masa sama kita punya Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru akan siap juga tahun ini, jadi banyak perkara-perkara yang akan menyumbang untuk menarik pelabur ke negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu (iSPOC) Johor Plantations Group Berhad (JPG) di Ladang Pasir Logok, Sedili di sini, hari ini.
Turut Hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Zahari Sarip; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han dan Pengerusi JPG, Tan Seri Dr Ismail Bakar.
Menurut Onn Hafiz, selain faktor kemudahan yang sedang dibangunkan, faktor tenaga mahir dan terlatih menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) juga penting.
“Melalui JTDC kita akan jadi satu ekosistem lengkap yang paling penting untuk menarik pelabur masuk ke Johor.
“Saya yakin sekarang ini semua pihak daripada kerajaan persekutuan, agensi dan juga kerajaan negeri sedang mengembeling tenaga untuk memastikan semuanya dapat dilaksanakan, insa’allah,”katanya.
Sementara itu, Ismail dalam ucapannya memaklumkam, iSPOC menjadi pemacu utama dalam pengembangan hiliran bagi pengeluaran minyak dan lemak khusus.
Katanya kompleks canggih ini akan menempatkan loji penapisan minyak dan lemak khusus, kilang minyak sawit, loji pemprosesan isirung sawit, kilang makanan haiwan dan Pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“iSPOC juga bakal menjadi kemudahan pertama seumpamanya dalam negara yang sepenuhnya mengadaptasi model ekonomi kitaran, dengan mengoptimumkan penggunaan sumber dengan menjana tenaga boleh diperbaharui melalui biojisim dan biogas yang terhasil daripada proses pengeluaran minyak sawit,” katanya.
Pendekatan inovatif itu ujarnya, bukan sahaja selari dengan matlamat JPG dalam mengurangkan pelepasan karbon, malah mengukuhkan lagi komitmen negeri ini terhadap amalan perniagaan mampan dan bertanggungjawab.
iSPOC katanya, dijangka mewujudkan 250 peluang pekerjaan secara langsung dengan tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja tempatan serta memberi kesan limpahan kepada sektor pekerjaan lain yang berkaitan.
“Ia dijadualkan mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2026 dan dijangka menjadi teras kepada usaha pemuliharaan ekonomi dan alam sekitar Johor, serta menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia.
“iSPOC yang dibangunkan diatas tanah seluas 70 hektar ini berpotensi untuk menjana pertumbuhan hasil yang signifikan,” katanya. – MalaysiaGazette