JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan RM9.25 juta bagi pelaksanaan program dan program memperkasa agenda keterjaminan makanan di Johor tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, peruntukan berkenaan adalah bagi fasa pertama dan KPKM bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakannya.
“Antara program dan projek yang diluluskan meliputi program memperkasa industri agromakanan tanaman dan komoditi berpotensi serta program memperkasa pembangunan industri asas tani.
“Ini juga melibatkan program Johor Future Agropreneur (JFA), pemerkasaan Projek Agromix Segamat Fasa 3 dan projek pembangunan High-Tech System di Pusat Memproses Makanan Fama (PMMF) Rengit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia termasuk juga projek peningkatan produktiviti Fertigasi Golden Melon Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Nanas serta pembangunan sistem mekanisasi dan automasi jentera ladang nanas MD2.
Kerajaan negeri, ujarnya, akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan segala peruntukan pembangunan yang diterima itu dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi memastikan objektif disasarkan dapat dicapai.
“Untuk itu, kami ambil inisiatif awal bagi mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pihak KPKM dan jabatan atau agensi yang terlibat dalam pelaksanaan program dan projek ini.
“Ini untuk memastikan gerak kerja dapat dimulakan segera dan dapat diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan, atau lebih awal,” ujarnya. – MalaysiaGazette