KUALA LUMPUR – Para peniaga dan usahawan kecil kini berpeluang untuk berniaga di Karnival Warisan @ Saloma di tengah ibu kota dengan harga tapak serendah RM5,000.
Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Datuk Che Umar berkata, harga tapak yang kompetitif jauh lebih rendah berbanding bazar-bazar eksklusif lain yang boleh mencecah RM10,000 hingga RM15,000.
“Dengan harga tapak serendah RM5,000, peniaga berpeluang menikmati akses kepada ribuan pengunjung setiap hari terutama menjelang Hari Raya Aidilfitiri di mana permintaan terhadap barangan keperluan meningkat.
“Selain itu, lokasi strategik di Segitiga Emas Kuala Lumpur menjanjikan aliran pelanggan yang tinggi termasuk pelancong antarabangsa dan ekspatriat,” katanya dalam sidang media di Lanai @ MATIC hari ini.
Pihaknya turut menawarkan cabatan bertuah mingguan dengan hadiah utama berupa motosikal elektrik (EV) di mana seorang pengunjung akan menerima motosikal setiap minggu.
“Waktu operasi bazar ini adalah dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari dan menjelang minggu terakhir Ramadan, ia akan dibuka 24 jam sehari.
“Bagaimanapun tapak adalah terhad dengan hanya 150 reruai jualan, jadi mereka yang ingin menyertai perlulah membuat tempahan segera kerana ia berdasarkan konsep first come, first serve,” tambahnya.
Selain menawarkan lokasi niaga premium, karnival yang sama turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Ashraf Muslim, Nad Zainal, Sharifah Shahirah, Fizz Fairuz, Aprena Manrose dan ramai lagi.
Mereka bukan sahaja akan menyertai jualan di bazar tetapi juga akan mengadakan sesi Meet & Greet bersama peminat.
Peniaga yang ingin maklumat lanjut atau membuat tempahan tapak boleh menghubungi Saiful Nizam Ismail di 60 12-662 4079. – MalaysiaGazette