Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil langkah membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, cadangan itu selari dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang dihasratkan oleh Kerajaan Madani.

“Berdasarkan maklum balas Jabatan Audit Negara (JAN), laporan-laporan Ketua Audit Negara belum lagi dibahas di peringkat mana-mana DUN.

“Oleh itu saya ambil kesempatan untuk cadangkan agar Kerajaan Negeri ambil langkah ini. Contohi Kerajaan Persekutuan dengan beri peluang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bahaskan LKAN di DUN masing-masing selaras dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” katanya ketika mencadangkan usul bagi membahaskan LKAN di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Azalina menambah, Kerajaan Madani berpendirian bahawa LKAN wajar diteruskan perbahasannya di Dewan Rakyat bagi memastikan isu dibangkitkan mendapat perhatian semua pihak.

“Kerajaan MADANI telah mencatat sejarah dengan mengemukakan usul (pembentangan LKAN) sebanyak empat kali. Ini adalah usaha untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan entiti awam.

“Ia juga selari dengan usaha kerajaan bagi memperkukuh tadbir urus sektor awam dan diharap dapat menyokong pemantauan secara lebih berkesan serta meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan,” katanya yang turut melihat Dewan Rakyat memainkan peranan penting dalam aspek semak imbang terhadap kuasa ketua eksekutif dan memastikan kecekapan serta integriti mana-mana kerajaan terjaga.

Azalina berkata, pada masa sama, perbahasan LKAN akan memberikan lebih banyak peluang kepada Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang untuk memastikan dana kerajaan digunakan secara berhemah demi kepentingan awam.

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan semua menteri bertanggungjawab selaras dengan perintah menteri-menteri Kerajaan Persekutuan supaya meneliti setiap teguran dibangkitkan LKAN 1/2025: Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 terutama isu berulang yang belum ditangani dengan tuntas oleh pihak bertanggungjawab.

Isnin lalu, LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat iaitu pembentangan LKAN yang pertama bagi tahun 2025.

Antara dapatan dalam LKAN itu berkait lima agensi Persekutuan yang mencatat kerugian bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

Tiga universiti awam terbabit iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dua lagi ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast