KUALA LUMPUR – Sebarang persepsi bahawa undang-undang boleh diubah mengikut kepentingan tertentu perlu ditangani secara serius bagi mengelakkan kemerosotan kepercayaan terhadap sistem pemerintahan dan keadilan negara.
Sehubungan itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, prinsip keadilan dan ketelusan dalam sistem perundangan negara perlu sentiasa ditegakkan tanpa sebarang pengecualian.
Menurut beliau, perkara itu bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan tidak terhakis.
“Setiap keputusan yang melibatkan kepentingan awam haruslah dibuat dengan mengambil kira aspek integriti dan akauntabiliti.
“Rakyat menaruh harapan tinggi agar usaha reformasi tidak hanya menjadi slogan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten dan berprinsip,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung sebanyak 18 kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan orang kenamaan (VIP) yang direkodkan antara 2018 hingga 2024.
Bercakap di Dewan Rakyat, Azalina berkata, bilangan tertinggi DNAA dalam kalangan VIP adalah pada 2023 dan 2020 iaitu masing-masing sebanyak lima kes manakala tiga kes pada 2019, dua kes tahun lalu dan 2018 dan satu kes pada 2021.
Namun, kata Azalina, keputusan melepas tanpa membebaskan itu telah dimuktamadkan selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette