SHAH ALAM – Seorang bekas timbalan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perindustrian diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM433,557 pada Julai 2002 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohamad Anas Mahadzir membuat keputusan itu kepada Bob Jeffry Bob Fauzi Ziegler selepas Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Rafiee membuat permohonan tersebut.
Pihak pendakwaan membuat permohonan tersebut supaya siasatan lanjut dapat dibuat susulan kematian pengadu utama dan saksi penting.
Bob Jeffry diwakili peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof Raja.
Pada 26 September 2023, Bob Jeffrey mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah apabila mengemukakan tuntutan palsu bagi memperoleh wang sebanyak RM433,557 untuk kegunaan dirinya.
Sebelum ini, pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu tahun hingga 14 tahun bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh juga berdepan hukuman sebat dan denda jika didapati bersalah. – MalaysiaGazette