Seorang pekerja kedai sedang mengemas kelapa di kedainya ketika tinjauan kekurangan bekalan buah kelapa di Selayang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 21 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengimport dan mengedarkan 661,761 biji kelapa tua, bersamaan 661 metrik tan (MT).

Menurut kementerian itu, ia melibatkan nilai keseluruhan RM1.45 juta.

Jelasnya, usaha tersebut akan diteruskan sehingga bekalan kelapa dalam negara kembali stabil.

“Bekalan ini akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan di pasaran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, bekalan berkenaan ditempatkan di pusat pengedaran utama seperti Pusat Operasi FAMA Dengkil, Selangor, Pusat Operasi FAMA Senawang, Negeri Sembilan dan Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai, Perak.

Mengulas lanjut katanya, Jabatan Pertanian (DOA) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penanaman semula dan penanaman baharu kelapa, penghasilan pelbagai anak benih kelapa daripada varieti berproduktiviti tinggi seperti kelapa MATAG, Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).

Ujar KPKM, ia merupakan langkah jangka masa panjang untuk memastikan bekalan kelapa dalam negara konsisten.

Katanya, kawasan tanah yang telah dikenal pasti melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan digunakan untuk penanaman kelapa bagi meningkatkan pengeluaran domestik.

“LPP telah melaksanakan 43 projek penanaman kelapa yang diusahakan bermula tahun 2016 di seluruh negara dengan keluasan seluas 643.42 hektar berkapasiti 123,426 pokok kelapa,” tambahnya.

Antara negara yang mengeksport kelapa tua ke Malaysia adalah Indonesia, Thailand dan Sri Lanka.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here