BATU PAHAT – Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan bekerjasama memantau aktiviti jualan makanan di luar premis sekolah.
Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana KPM hanya bertanggungjawab ke atas jualan di kantin dan tidak membenarkan sebarang aktiviti jualan dilakukan 40 meter dari kawasan sekolah.
“KPM juga percaya pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengeluarkan garis panduan sewajarnya untuk mengatasi masalah penjualan makanan tidak sihat di kawasan sekolah.
“Dari sudut peraturan dan undang-undang, KPM hanya boleh menguatkuasakan larangan penjualan 40 meter dari pintu utama dan keseluruhan pagar sekolah.
“Jika ada aktiviti jualan yang berada di luar kawasan daripada jarak itu, ia adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan,” katanya mengulas mengenai penjualan makanan di luar kawasan sekolah
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Sekolah Digital di Sekolah Kebangsaan Seri Telok di Parit Yaani di sini hari ini.
Azman berkata, pihak sekolah akan memastikan pelajar hanya membeli makanan yang dijual di kantin kerana itu merupakan makanan dibenarkan untuk dijual kepada pelajar.
“Daripada sudut kesihatan, pihak kami akan sentiasa komited melakukan kerjasama dengan PBT supaya pengawasan sewajarnya dapat dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette