KUANTAN – Seorang lelaki hari ini didakwa membunuh peniaga makanan wanita pada pertengahan Februari lalu di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding hari ini.
Tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Nurshamira antara jam 7.30 petang hingga 8.30 malam 12 Februari lalu di kawasan Jeti Sungai Kuantan, Jalan Padang Lalang di Kuantan, Pahang.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, B Deevagaran Naidu.
Mahkamah menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette