Tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, dibawa keluar oleh anggota polis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah masjid ketika di Mahkamah Sesyen Ampang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 FEBRUARI 2025.

AMPANG – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin di Mahkamah Seysen Ampang, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun bagi maksud seksual di sebuah masjid di Kampung Sungai Masin, Batang Kali dalam daerah Hulu Selangor kira-kira jam 6.20 pagi pada Jumaat lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda berusia antara 18 sehingga 21 tahun.

Susulan itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengacau ganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Sementara itu, tertuduh yang memakai baju berwarna putih di dalam kandang tidak dibenarkan ikat jamin kerana tiada ahli keluarga yang hadir dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac depan untuk laporan sosial daripada JKM.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here