KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kilang sisa elektrik dan elektronik (e-waste) di sebuah daerah di selatan tanah air.
Menurut sumber SPRM, penahanan itu susulan tangkapan 18 individu pada Selasa lalu kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah berkaitan pengoperasian kilang e-waste.
Sumber itu memaklumkan perintah reman selama enam hari terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Nur Affiqah Radhiah Zainurin selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka.
“Kesemua suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan antara pukul 7 hingga 9 malam semalam ketika mereka hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati ada dalam kalangan penjawat awam ini menerima rasuah secara one-off antara RM1,000 hingga RM20,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang e-waste ini,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata terdapat juga pegawai yang mengutip wang rasuah sebanyak RM12,000 sebulan daripada kilang-kilang e-waste berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Khamis lepas, Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar menumpaskan kegiatan memproses e-waste secara haram di seluruh negara, melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3.8 bilion bagi tempoh 1 Jan 2024 hingga 17 Feb 2025.- BERNAMA