Tapak projek Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) di Depoh Johan Setia, Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dengan kawasan sekitarnya dijadual bermula pada 30 September ini selepas projek itu diserahkan sepenuhnya kepada Prasarana Malaysia Bhd. oleh kontraktor utama pada 31 Julai.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sehingga kini kemajuan keseluruhan projek tersebut mencapai 98.16 peratus.

“Dua ujian ini yang merangkumi pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard melibatkan ‘Trial Run’ (TR) yang akan dijalankan serentak dengan ujian ‘Fault Free Run’ (FFR) oleh pihak kontraktor utama Setia Utama LRT3 Sdn Bhd.

“Anggaran tempoh pengujian adalah selama 75 hari dan keputusan ujian FFR ini akan dinilai oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) berdasarkan aspek-aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem kereta api yang tertentu,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status terkini projek LRT3, tempoh pelaksanaan ‘trial run’ tanpa penumpang serta sasaran pembukaan operasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2025.

Tambah Anthony, ujian TR/FFR dijangka bermula pada pertengahan April ini dan selesai pada akhir Jun depan.

“Selepas itu, ujian operasi atau “Trial Operation” (TO) akan dijalankan oleh Rapid Rail Sdn Bhd sebagai pengendali berlesen kereta api dengan bantuan teknikal daripada kontraktor utama sebaik ujian TR dan FFR selesai serta mendapat kelulusan Apad.

“Anggaran tempoh pengujian ini adalah selama 60 hari. Ujian TO ini dijangka bermula pada Julai 2025 dan selesai pada akhir Ogos 2025,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here