KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 dijangka akan menambah baik indeks kebebasan media global sekaligus memperkukuhkan peranannya selaras dengan prinsip demokrasi negara, kata Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung.
Jelasnya, akta itu akan menjadi batu loncatan dalam usaha menjadikan industri media lebih profesional, telus, dan bebas.
“Setelah bertahun-tahun perbincangan dan usaha, kita akhirnya berjaya menubuhkan sebuah badan pemantauan media yang bebas.
“Ini bukan sahaja memastikan perkembangan industri media selari dengan piawaian etika yang tinggi, tetapi juga menjamin kebebasan media yang amat penting dalam sistem demokrasi,” katanya menerusi kenyataan.
Sebagai rekod, Dewan Rakyat semalam telah meluluskan bacaan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) MMM 2024 yang bertujuan untuk menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
Sementara itu, Lee menyifatkan perkembangan positif tersebut sebagai detik bersejarah dalam landskap media negara.
“Selama ini, Malaysia tidak mempunyai satu garis panduan etika media yang seragam, menyebabkan setiap organisasi media mengamalkan standard yang berbeza-beza,” tambahnya.
Mengulas lanjut katanya lagi, dengan penubuhan Majlis Media Malaysia, industri media akan mempunyai satu rangka kerja yang lebih jelas untuk memastikan laporan berita yang adil, objektif, dan berwibawa.
Tambah Ahli Parlimen Petaling jaya itu, akta ini juga bakal memperkenalkan mekanisme aduan dan pemantauan yang lebih berkesan untuk masyarakat.
“Ini bukan sahaja meningkatkan profesionalisme media tetapi juga memberi manfaat kepada perkembangan kerjaya para pengamal media serta memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap kewibawaan berita yang dilaporkan.
Sebelum ini, rakyat sering menghadapi kesukaran dalam mengemukakan aduan terhadap laporan media kerana saluran aduan yang tidak jelas.
Kini, dengan adanya Majlis Media Malaysia, rakyat boleh menyuarakan kebimbangan mereka melalui prosedur yang sah, telus dan adil, memastikan setiap organisasi media bertanggungjawab terhadap laporan yang diterbitkan.
Ini akan memperkukuh mekanisme akauntabiliti dalam industri media dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media,” ujarnya.-MalaysiaGazette