Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin.

SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu memandang serius pendedahan terbaru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam kajian mendapati beras putih tempatan telah dicampur dengan beras import.

Ketuanya, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, kajian itu jelas bercanggah dengan kenyataan rasmi kerajaan pada 2023 yang menafikan sebarang unsur penyelewengan dalam isu beras tempatan dan import.

“Isu ini bukan sekadar melibatkan ketidaktelusan dalam industri beras, tetapi juga berkait rapat dengan hak pengguna dan keadilan terhadap rakyat.

“Selama ini, rakyat telah dibebankan dengan kenaikan harga beras dan isu bekalan yang tidak menentu.

“Jika benar wujud sebarang manipulasi dalam pengedaran beras, ini adalah satu pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak mendedahkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus beras import dari 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).

Mohd Syahril berkata, kajian yang menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024.

Zulfadli juga berkata, sekiranya dakwaan itu berasas, kerajaan perlu menarik lesen pengilang yang mencampurkan BPT ke dalam pek import dan kemudian dijual dengan harga mahal di pasaran.

“Kerajaan digesa melaksanakan saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Selain itu, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu juga menuntut agar kerajaan tampil memberi penjelasan yang telus dan bertanggungjawab terhadap pendedahan ini.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan sebarang percubaan untuk menyembunyikan maklumat hanya akan menjejaskan lagi kepercayaan terhadap kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Zulfadli turut mendesak agar satu siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan tiada unsur salah guna kuasa atau kepentingan pihak tertentu dalam industri beras negara.

“Jika terdapat mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang bentuk manipulasi, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu akan terus bersuara bagi pihak rakyat dalam isu ini. Kita tidak boleh berdiam diri apabila kepentingan rakyat dipermainkan.

“Kerajaan harus membuktikan bahawa mereka benar-benar mengutamakan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar memberi jaminan kosong tanpa tindakan yang jelas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here