KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa pemimpin dan pembuat dasar ASEAN untuk mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh status umat Islam di rantau ini.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, lanskap sosio politik dan ekonomi ASEAN menuntut pendekatan yang lebih bersatu dan strategik bagi memastikan hak serta kebajikan umat Islam terpelihara.
Menurut beliau, walaupun ASEAN merupakan rantau yang pelbagai dan berbilang budaya, namun terdapat keperluan mendesak untuk memperkasakan kedudukan umat Islam dalam tadbir urus, pendidikan dan peluang ekonomi.
“Umat Islam di ASEAN menyumbang secara signifikan kepada pembangunan rantau ini, justeru penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan dan kemajuan ekonomi perlu diperkukuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selaras dengan gesaan itu, tambah Mohd. Azmi, Mapim melihat beberapa bidang utama perlu diberi penekanan segera antara dari sudut perwakilan politik.
Jelasnya, umat Islam di rantau ASEAN perlu digalakkan untuk memainkan peranan lebih besar dalam perumusan dan tadbir urus di peringkat nasional dan serantau.
Selain itu, ujarnya, ekonomi berasaskan Islam seperti industri halal, kewangan Islam dan program keusahawanan bagi memastikan ketahanan ekonomi umat Islam di rantau ASEAN juga perlu diperkukuhkan.
Bidang lain, kata beliau, adalah berkenaan pendidikan dan modal insan yang mana ASEAN perlu memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, biasiswa,dan latihan vokasional untuk komuniti Muslim.
Selain itu, tambahnya, aspek hak asasi manusia dan keadilan sosial juga perlu dipertingkatkan yang mana isu-isu seperti diskriminasi, konflik dan krisis kemanusiaan yang menjejaskan minoriti Muslim perlu ditangani.
“Memperkukuh status umat Islam di ASEAN bukanlah soal perpecahan, tetapi memastikan peluang yang saksama dan mewujudkan kestabilan serantau.
“MAPIM kekal komited dalam memperjuangkan pemerkasaan umat Islam di ASEAN dan akan meneruskan usaha melalui dialog, kerjasama serta inisiatif strategik,” katanya. – MalaysiaGazette