Gambar hiasan beras

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selanggor menggesa kerajaan jujur dan bertindak agresif dalam menangani isu ketiadaan bekalan beras putih tempatan (BPT) yang masih berlanjutan selama lebih dua tahun.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkenaan percampuran antara beras tempatan dan beras import menunjukkan rakyat ditipu dan dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Apakah yang menjadi halangan untuk kerajaan bertindak dengan cekap bagi menangani masalah ini? Sampai bila rakyat perlu ditabur dengan harapan palsu?,” soalnya.

Jelasnya, mustahil untuk bekalan beras tempatan ‘hilang’ begitu sahaja kerana penanaman padi sentiasa berlangsung.

“Malah beras tempatan sepatutnya mampu menampung permintaan lebih 60 peratus rakyat di Malaysia. Polemik beras tempatan yang ‘ghaib’ di pasaran tempatan ini sudah berlarutan selama lebih dua tahun.

“Tetapi, mengapa kerajaan begitu lembab bertindak sedangkan kerajaan mempunyai kuasa sejak awal isu ini berlaku lagi?,” tegasnya.

Terdahulu, dilaporkan kajian terbaru oleh MARDI mendapati antara 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang diuji didapati telah dicampur dengan beras putih tempatan.

Menurut Mohamed, pada waktu ini rakyat terpaksa membeli beras import yang jauh lebih mahal berbanding harga beras tempatan yang dijual pada harga RM2.60 sekilogram.

Malah, beliau menyifatkan tindakan mencampurkan beras yang dipercayai dilakukan oleh pengilang seolah-olah mendapat ‘restu’ Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Apabila (beliau) mencadangkan pada Januari lepas berkenaan percampuran beras untuk mencukupkan bekalan beras. Idea ini seolah-olah mahu memperbodohkan rakyat dan mahu menormalisasikan manipulasi beras yang sedang dilakukan.

“Justeru, Dewan Pemuda Pas Selangor tegas menggesa kerajaan untuk mengambil serius isu ‘keghaiban’ beras tempatan di pasaran ini. Rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan tetapi mahu melihat tindakan.

Mohamed turut berharap pengumuman penjualan beras tempatan RM26 untuk kampit 10 kilogram (kg) mulai 1 Mac ini akan direalisasikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here