Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional mencatatkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) sebanyak 9.8 peratus pada tahun lalu berbanding 12.6 peratus pada 2023.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, selain itu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mencatat kejayaan cemerlang sejak 38 tahun ditubuhkan dengan pencapaian portfolio berisiko (PAR) tahun lepas pada paras 0.02 peratus berbanding 0.09 peratus pada 2023.

Menurutnya, antara langkah diambil bagi mengurangkan NPL dan portfolio PAR, pertama mengadakan program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi latihan pengurusan kewangan dan perancangan perniagaan untuk membantu usahawan mempunyai aliran tunai stabil dan seterusnya dapat melunaskan pinjaman.

“Ia termasuk mengadakan kursus seminar asas keusahawanan bagi memberi kesedaran kepada peminjam mengenai kepentingan bayaran balik pinjaman mereka.

“Kedua, menjalankan pemantauan berkala dan penyeliaan secara rapi terhadap usahawan, termasuk memberikan sokongan bimbingan bagi membantu mereka mengatasi cabaran kewangan.

“Agensi berkenaan turut menawarkan opsyen penstrukturan semula pinjaman kepada usahawan yang menghadapi kesukaran kewangan merangkumi pelan pembayaran lebih fleksibel seperti pelanjutan tempoh pembayaran atau pengurangan bayaran bulanan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ewon menambah, Kuskop menerusi agensi Tekun Nasional dan AIM sentiasa berusaha mengurangkan NPL dan PAR bagi memastikan dana berkenaan dapat disalurkan kepada usahawan lain yang memerlukan.

“Apabila kita dapat kurangkan NPL dan PAR ini kedua-dua agensi ini mempunyai dana yang boleh dipinjamkan kepada usahawan-usahawan sedia ada dan lebih penting lagi usahawan baharu.

“Dalam kesempatan berjumpa dengan usahawan, seperti mana diingatkan pegawai warga kerja Tekun Nasional, saya mengingatkan usahawan-usahawan mengenai kepentingan pembayaran semula (pinjaman),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here