KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas memainkan isu perkauman dan agama demi menggagalkan usaha kerajaan untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat berkata parti itu tidak mahu melihat rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang lebih baik kerana takut kehilangan modal politik.
“Apa sahaja dasar atau cadangan yang membawa manfaat kepada rakyat pasti akan diputarbelitkan oleh mereka demi kepentingan politik sempit,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas beliau, setiap rang undang-undang yang dibawa ke Parlimen melalui proses penelitian yang ketat melibatkan setiap kementerian yang berkaitan, kelulusan Jemaah Menteri kemudian disemak oleh Pejabat Peguam Negara dan akhirnya diperkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan sebagai undang-undang.
Namun katanya, Pas tidak menggunakan fakta tersebut kepada rakyat sebaliknya mendakwa penggubalan akta ini dibuat tergesa-gesa kerana ingin membibitkan kebencian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Tetapi Pas tidak akan mendedahkan fakta ini kepada rakyat kerana ia bertentangan dengan naratif politik mereka yang hanya mahu mencetuskan kebencian dan perpecahan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Chua mengecam tindakan Pas yang ingin menganjurkan demo dan terus memainkan politik murahan dengan menentang PSB.
“Jika Pas benar-benar mahu membela rakyat, mereka sepatutnya mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih baik, bukannya hanya turun ke jalanan untuk mencipta ketegangan dan memperbodohkan rakyat dengan sentimen tidak berasas. Demonstrasi ini bukanlah demi rakyat, tetapi semata-mata untuk mengekalkan modal politik PAS yang bergantung kepada hasutan dan fitnah,” tambahnya.
Semalam dilaporkan, Pemuda Pas merancang mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) PSB yang didakwa boleh mengancam hak pemilik hartanah terutamanya penduduk bandar yang kurang berkemampuan.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri menyifatkan RUU tersebut sebagai satu bentuk penjajahan moden yang bakal mengusir penduduk bandar dari tanah mereka, seakan-akan strategi yang pernah digunakan terhadap rakyat Palestin.
Kerajaan bercadang membentangkan RUU PSB pada Jun atau Julai tahun ini.
Antara cadangan utama menerusi undang-undang ini adalah menurunkan nilai ambang persetujuan pemilik hartanah sebelum sesuatu projek pembangunan dapat dimulakan.
Sebagai rekod, pada masa ini Akta Hakmilik Strata mewajibkan persetujuan sebulat suara daripada pemilik hartanah sebelum sesuatu pembangunan semula dijalankan.-MalaysiaGazette