MERSING – “Saya menyesal dengan apa yang saya lakukan, perbuatan itu (conteng dinding) adalah kebudak-budakan.
“Saya minta maaf atas perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi di mana-mana negara. Saya mohon hukuman dikurangkan kerana saya perlu membeli tiket untuk pulang (balik ke negara asal).”
Demikian rayuan seorang pelancong warga Republik Czech, Brukner Martin, 33, semasa didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menconteng dinding bangunan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing.
Tertuduh menjawab faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000, jika gagal membayar hukuman penjara empat bulan.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bangunan APMM Zon Maritim Mersing di bandar Mersing pada pukul 12.06 tengah malam, 23 Februari lalu yang menyebabkan kerugian RM2,000.
Berdasarkan fakta kes, seorang individu yang bertugas di Pejabat APMM tersebut telah menjumpai kesan contengan di dinding pejabat berkenaan disyaki akibat perbuatan vadalisme pada pukul 9 pagi 23 Februari lalu.
Individu tersebut kemudian menyemak kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat untuk melihat pelakunya dan mendapati kejadian berkenaan dilakukan pada pukul 12.06 tengah malam 23 Februari lalu.
Semakan juga mendapati perbuatan tersebut dilakukan seorang individu disyaki warganegara asing yang tidak dikenalinya.
Individu tersebut juga mendapati contengan vadalisme itu dilakukan di sekeliling Pejabat APMM tersebut dan premis-premis sekitar Jalan Sulaiman sebelum membuat laporan polis.
Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing telah pergi ke lorong belakang bangunan kedai dan Jalan Sulaiman sebelum menangkap tertuduh serta merampas marker pen lalu membawanya ke IPD Mersing.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayarnya.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afdhallan Shafiq manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette