Sapura Energy dalam satu kenyataan hari ini berkata anak-anak syarikat itu telah memuktamadkan 52 mesyuarat melalui perintah mahkamah yang berasingan antara 21 Februari, 2025 dan 27 Februari, 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Muhammad Zamri Jusoh berkata kumpulan itu percaya ia telah menawarkan penyelesaian adil dan saksama kepada pemiutang sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memelihara ekosistem tenaga di Malaysia.
“Kami berterima kasih atas sokongan semua pemiutang terhadap usaha penstrukturan semula hutang Sapura Energy. Walaupun menerusi proses yang panjang, mereka tetap komited terhadap pemulihan berkenaan dan kami sangat menghargai kepercayaan mereka,” katanya.
Skim itu akan mengikat syarikat subsidiari dan pemiutang mereka selepas perintah sekatan dibuat oleh Mahkamah Tinggi menurut Seksyen 366(4) Akta Syarikat 2016 dan selepas perintah itu diserahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, katanya.
Di bawah skim tersebut, tuntutan diterima pemiutang tidak bercagar (pemiutang tidak memegang sebarang sekuriti terhadap hutang syarikat) selepas mengetepikan semua caj penalti, caj pembayaran lewat dan faedah atau keuntungan terakru dari 31 Januari, 2022 hingga tarikh kuat kuasa penstrukturan semula akan diselesaikan sepenuhnya secara tunai dalam tempoh 90 hari selepas tarikh kuat kuasa penstrukturan semula.
Jangkaan tarikh kuat kuasa terawal adalah pada Ogos 2025, tertakluk kepada syarat tertentu.
Sapura Energy berkata penyelesaian baki tuntutan pemiutang ekosistem akan dibiayai daripada hasil pelaburan yang akan dibuat oleh “White Knight” (penyelamat kewangan) pada tarikh penstrukturan semula berkuat kuasa.
Sementara itu, tuntutan diterima oleh pemiutang tidak bercagar selepas penepian (waiver) tidak boleh ditarik balik terhadap semua caj penalti, caj pembayaran lewat dan faedah atau keuntungan terakru dari 31 Januari, 2022 hingga tarikh kuat kuasa penstrukturan semula, ia akan diselesaikan melalui beberapa tindakan.
— BERNAMA