Muhammad Tarmizi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu boleh membantu pemohonan PPR Kempas Permai, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini UTUSAN/KOSMO.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan menipu membabitkan surat tawaran atau lesen menduduki premis Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Tarmizi Mohd Rashid, 40, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan curang menipu dengan memperdayakan empat individu sehingga mendorong mereka membuat pindahan atas talian ke akaun bank miliknya kerana mempercayai bahawa dia boleh membantu bagi mendapatkan surat tawaran atau lesen menduduki premis PPR Kempas Permai.

Empat individu yang diperdayakan tertuduh membuat pindahan wang berjumlah RM800; RM1,247; RM1,300 dan RM2,200 di sebuah bank di Jalan Dian 8, Taman Munsyi Ibrahim di sini, antara 29 Januari hingga 8 Mac tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ameera D’Aneez Mohd Shukari manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lydiana Mansor.

Pihak pendakwaan kemudian menawarkan jaminan berjumlah RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Lydiana dalam rayuannya, memohon jaminan yang rendah memandangkan tertuduh tidak bekerja dan hanya membantu isteri membuat kuih dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Anak guam saya juga mempunyai tanggungan tiga anak yang masih bersekolah berusia 14, 12 dan 11 tahun. Anak bongsunya itu terlantar sakit akibat kanser.

“Saya mohon jaminan yang rendah atas faktor kewangan kritikal yang dialami mangsa,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi menjatuhkan hukuman.

Mengikut fakta kes, Muhammad Tarmizi ketika memegang jawatan sebagai Ketua Blok di PPR Kempas Permai telah menipu pemohon dengan memperdayakan mereka bahawa tertuduh akan mendapatkan rumah untuk diduduki dengan membuat bayaran RM2,000 hingga RM6,000 bagi setiap permohonan.

Bagaimanapun, permohonan itu tidak dihantar dan diproses oleh tertuduh sehingga mengakibatkan semua pemohon tidak dapat menduduki rumah di PPR Kempas Permai secara sah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here