SHAH ALAM – Seorang Penolong Pengarah Kanan di sebuah jabatan kerajaan berdepan hukuman penjara sehingga 78 tahun atas 12 pertuduhan menerima suapan rasuah berjumlah RM238,023 sebagai balasan membocorkan maklumat tender di sekitar Puchong, antara 2021 hingga 2024.
Tertuduh, Abang Ismail Abang Puteh, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Abang Ismail menerima suapan wang tunai berjumlah RM238,023 daripada Pengarah Perkhidmatan Uniqcen Sales & Services Sdn Bhd, Tan Ki Lok.
Ia sebagai balasan memberikan maklumat tender mengenai Perkhidmatan Penyelenggaraan Fasiliti Pusat Data, Jabatan Akauntan Malaysia bagi kontrak antara 2019 hingga 2021 serta membuat pengesahan kerja pada “Completion Job” bagi kerja-kerja tersebut.
Ketika kejadian dan sehingga kini, tertuduh berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan dan Pegawai Teknologi Maklumat F44 di Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Jabatan Akauntan Malaysia.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di dua restoran dan sebuah kafe sekitar Persiaran Puteri 1, Bandar Puteri, Puchong, Selangor antara 11 Januari, 8 April, 1 Oktober dan 15 Disember 2021; 2 Mac, 8 Julai, 13 September dan 7 Disember 2022; 17 April, 16 Mei dan 19 September 2023 serta 15 Mei 2024.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habbib Rahman, manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan.
Bagaimanapun peguam Mohd Shahrullah Khan merayu agar mahkamah memberikan jaminan rendah susulan sejumlah wang RM100,000 di dalam akaun bank serta harta lain milik tertuduh telah dibekukan SPRM.
Selain itu, tertuduh perlu menanggung seorang isteri yang bekerja sebagai pentadbir di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta mempunyai tiga anak yang masih belajar berusia 8, 16 dan 19 tahun.
Hakim kemudiannya memberikan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerah pasport perjalanan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Mahkamah Sesyen itu turut menetapkan 9 April ini sebagai tarikh sebutan dan serahan dokumen pertuduhan. – MalaysiaGazette