JERLUN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan infrastruktur bagi menyokong program tanaman padi lima musim dalam dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1, disegerakan.
Anwar berkata bagi menjayakan program itu, kerajaan Kedah dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu bekerjasama bagi menyokong inisiatif berterusan kerajaan untuk meningkatkan hasil padi negara.
Beliau berkata antara usaha yang perlu dijayakan oleh kerajaan negeri ialah mempercepat proses pengambilan tanah bagi menaik taraf infrastruktur sistem pengairan di kawasan terlibat.
“Kerajaan negeri kena percepat pengambilan tanah… semua ini mengambil masa. Kita tidak boleh tolak ansur dah… nanti semua orang ‘lemas’ (petani tidak puas hati),” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda Fasa 1 di Pida 4, Ayer Hitam dekat sini hari ini.-BERNAMA