Seorang pesara tentera maut selepas terlibat kemalangan dengan pacuan empat roda di Jalan Kota Tinggi - Kluang, Kluang hari ini.

KLUANG – Seorang pesara tentera maut selepas dilanggar pacuan empat roda yang mengelak anjing melintas di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi – Kluang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada pukul 10.28 pagi itu melibatkan motosikal jenis Suzuki Shogun 125 ditunggang mangsa dengan Toyota Hilux.

“Hasil siasatan awal didapati Toyota Hilux datang dari arah bandar Kluang menghala ke Kota Tinggi. Apabila Toyota Hilux sampai di tempat kejadian terkejut apabila seekor anjing melintas di hadapannya.

“Toyota Hilux tersebut lalu mengelak ke kanan memasuki laluan bertentangan sehingga terlanggar motosikal mangsa yang datang dari arah Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kemalangan yang berlaku, penunggang motosikal, Hassenol Ahmad, 64, mengalami cedera di bahagian kepala dan badan serta dalam keadaan tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan.

Beliau memberitahu, anak mangsa kemudian hadir ke kaunter aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pukul 1.30 petang dan melaporkan bapanya telah meninggal dunia semasa dirawat di HEBHK.

Sementara pemandu Toyota Hilux yang berusia 28 tahun dan beralamat di Simpang Renggam sakit di bahagian dada dan mendapat rawatan di klinik swasta.

“Pemandu tersebut telah ditangkap untuk siasatan lanjut. Hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapatiya negatif dadah. Pemandu tersebut akan dipohon tahanan reman di mahkamah untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambah Bahrin, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here