Hud Aryan

KOTA BHARU- Kematian kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan Hud Aryan Mohd Nor Hafifi akan disiasat secara teliti kerana dikhuatiri ada unsur kecuaian, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Mohd Yusoff berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Tanah Merah Supt Mohd Haki Hasbullah untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap keluarga kanak-kanak berkenaan.

“Saya memantau TikTok orang ramai dan mereka mengatakan cara kanak-kanak itu hilang tidak logik kerana dalam tempoh beberapa minit sahaja dia (Hud Aryan) telah terjatuh ke dalam sungai.

“Pihak polis bimbang sekiranya ada unsur kecuaian dan kes ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata hasil bedah siasat terhadap kanak-kanak berkenaan tidak menemukan sebarang kecederaan pada anggota badan serta tiada unsur jenayah.

Beliau berkata polis akan mengambil keterangan keluarga termasuk ibu dan bapa kanak-kanak itu serta jiran-jiran yang berdekatan di kawasan Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah.

Pada Isnin lepas, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga dan memasuki hari ketiga pencarian semalam, anggota mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat Hud Aryan di tebing sungai kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Jenazah Hud Aryan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah, awal pagi tadi.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here