Pensyarah PPK USM bersama warga SMSE yang mengambil bahagian dalam program kesedaran mengenai penggunaan media sosial yang selamat di Pulau Pinang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 95 pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Simpang Empat (SMSE), Pulau Pinang menyertai program “Guiding Young Malaysians to Understand the Ethics, Laws, and Risks of Cyberbullying on Social Media” yang berlangsung dari 19 hingga 21 Februari lalu, di sekolah berkenaan.

Program tajaan Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) itu bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar tentang penggunaan media sosial, mendidik cara penggunaan platform digital yang betul serta mencegah buli siber dalam kalangan remaja.

Program itu dijayakan oleh pensyarah-pensyarah dari PPK USM iaitu Dr. Rani Ann Balaraman; Prof. Madya Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh; Dr. Nur Atikah A. Rahman dan Dr. Sharifah Nadiah Syed Mukhiar dengan dibantu tiga mahasiswa dari PPK.

Program itu mengetengahkan beberapa aspek penting termasuk definisi buli siber, ciri-ciri buli siber, risiko dan kesan psikologi, etika penggunaan media sosial, undang-undang berkaitan buli siber di Malaysia serta panduan menggunakan media sosial secara bijak.

ANTARA aktiviti yang dianjurkan dalam program kesedaran mengenai penggunaan media sosial yang selamat anjuran PPK USM di SMSE, Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut Ketua Projek, Dr. B. Rani Ann, remaja sebagai pengguna terbesar media sosial perlu memahami bahawa perbuatan mereka menyalahgunakan platform digital boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah pelbagai akta di negara ini seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan.

“Program ini bukan sahaja memberi pengetahuan tentang etika, tetapi juga mengingatkan pelajar tentang tanggungjawab mereka sebagai pengguna media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengetua SMSE, Dr. R. Asaithamby berkata, program seumpama itu perlu diperluaskan ke semua peringkat murid sekolah khususnya murid menengah rendah terdiri daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.

Jelas beliau, kumpulan murid itu perlu diberikan pendedahan awal tentang penyalahgunaan media sosial dan kesan buruk buli siber.

“Semua murid sekolah menengah khususnya harus tahu bagaimana menggunakan media sosial dengan betul serta bijak dan apa kesan yang bakal menanti mereka jika menyalahgunakannya,” katanya.

Data terkini menunjukkan Malaysia mempunyai 33.59 juta pengguna internet pada awal 2024 dengan kadar penembusan internet sebanyak 97.4 peratus.

Daripada jumlah itu, 28.68 juta pengguna aktif di media sosial mewakili 83.1 peratus populasi negara termasuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Platform popular seperti Facebook, TikTok, Instagram, dan YouTube sering digunakan oleh remaja di negara ini.

Namun, ramai yang tidak sedar tentang undang-undang yang mengawal dunia digital dan risiko tindakan undang-undang akibat kesalahan seperti fitnah, penyebaran berita palsu, penghinaan agama, buli siber dan perkongsian video lucah.

Seubungan itu, program tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada inisiatif serupa di sekolah-sekolah lain khususnya dalam mendidik generasi muda tentang penggunaan media sosial yang bertanggungjawab dan selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here