Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) perlu mempunyai garis panduan yang jelas demi memastikan memastikan pemilik hartanah tidak ditekan atau dianiayai, terutama melibatkan proses pengambilan tanah.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, garis panduan berkenaan akan membantu rakyat memahami penggubalan undang-undang tersebut, kelak.

Jelasnya, kawasan yang menjadi tumpuan pembaharuan bandar kebanyakannya melibatkan flat-flat lama, yang didiami oleh kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah (B40 dan M40).

“Adakah hak dan kepentingan golongan berpendapatan rendah akan terjejas? Ini adalah perkara yang kerajaan perlu pertimbangkan dengan teliti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Dominic, lazimnya penduduk yang sudah biasa dengan persekitaran sedia ada akan menolak untuk berpindah meskipun keadaan perumahan mereka kurang baik.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu memastikan proses tersebut telus dan membolehkan penduduk terlibat secara aktif.

“Kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat, memenuhi keperluan yang munasabah, menyediakan penempatan sementara, serta memberi jaminan bahawa mereka akan mendapat kediaman di unit baharu yang dibina,” katanya lagi.

Tidak menafikan RUU berkenaan berpotensi menghidupkan semula kawasan lama, terutama melibatkan bangunan, jalan raya dan sistem perparitan lama, buruk dan tidak selamat untuk penggunaan, namun kata Dominic garis panduan yang munasabah dan konkrit amat diperlukan tanpa tergesa-gesa.

“Sebab, salah satu faktor utama yang menghalang pembaharuan bandar berskala besar di Malaysia adalah isu hak milik tanah, dan kerajaan perlu menangani perkara ini dengan baik,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berpendirian bahawa kerajaan perlu meneliti dan mengawal selia setiap projek pembangunan semula dengan terperinci, bagi memastikan projek dijalankan mengikut peraturan dan pelan yang telah ditetapkan.

“Semua prosedur pengambilan tanah dan pembangunan semula perlu digariskan dengan jelas serta mengutamakan perlindungan hak pemilik. Ini penting untuk menjamin ketelusan dan keabsahan proses tersebut,” tambah beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here