JOHOR BAHRU – Salah laku segelintir anggota polis di negeri ini jika tidak dibendung akan menjadi barah dan merosakkan kepercayaan masyarakat.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya memandang serius dan kecewa dengan peningkatan kes salah laku dalam kalangan anggotanya sepanjang tahun lalu.
“Seramai 23 pegawai kanan dan anggota polis di negeri ini dikenakan tindakan dan telah dituduh di mahkamah sepanjang tahun 2024.
“Bagi tahun ini pula, setakat ini tiga anggota didakwa atas kesalahan serius seperti pemerasan, rogol, ugutan jenayah, amang seksual, keganasan rumah tangga atau penyalahgunaan dadah,” katanya.
Kumar berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini
Kumar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai serta anggota yang terlibat dalam jenayah atau melanggar disiplin.
“Saya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa, bersekongkol dengan penjenayah atau penyalahgunaan dadah,” katanya.
Tambahnya, tindakan tegas, termasuk di bawah Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 akan diambil bagi memastikan ketelusan dalam penyeliaan serta integriti dalam pasukan polis terus diperkasakan.
Sementara itu, Kumar berkata, di sebalik cabaran membanteras salah laku dalaman, polis Johor tetap menunjukkan prestasi cemerlang dalam menangani jenayah.
Katanya, bagi Januari 2025, jenayah indeks menurun 1.01 peratus dengan 491 kes berbanding 496 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Bagi operasi membanteras jenayah dadah, 4,048 individu ditahan dengan rampasan dadah bernilai RM34.03 juta serta aset sindiket berjumlah RM4.46 juta.
“Sebanyak tujuh sindiket pengedaran dadah berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Johor.
“Bagi jenayah penipuan dalam talian didapati terus meningkat dengan 1,126 kertas siasatan dibuka sepanjang Januari hingga pertengahan Februari 2025, meningkat 55 peratus berbanding tahun lalu.
“Selain itu, siasatan mendapati, lebih 90 peratus daripada kes ini melibatkan penipuan dalam talian, membuktikan masih ramai yang terpedaya dengan taktik scammer,” ujarnya.
Daripada segi aspek keselamatan jalan raya katanya, jumlah kemalangan menunjukkan penurunan dengan 52 kes lebih rendah berbanding Januari tahun lalu yang mana Kontinjen Johor menerima pengiktirafan sebagai juara kategori Penurunan Kadar Kemalangan Tertinggi sempena Op Selamat 23.- MalaysiaGazette