KUALA LUMPUR – Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sepatutnya tidak hanya tertumpu di Lembah Klang, Johor dan Melaka sahaja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, latihan teknikal itu perlu diperluaskan ke seluruh negara bagi memenuhi kehendak pasaran tenaga dan industri.
“Johor telah memulakan satu untuk memulakan latihan kepada anak-anak muda bagi memenuhi kehendak pasaran guna tenaga di negeri-negeri berkenaan sesuai dengan Special Economic Zone di Johor.
“Kita mahu bukan sahaja rakyat Johor, generasi baru tetapi seluruh negara bersama-sama untuk menghidupkan universiti berkenaan.
“Melaka umpamanya Ketua Menteri telah menawarkan Melaka untuk menjadi pusat TVET seluruh negara berada di Melaka. Jadi kedua-dua negeri telah memulakan selain apa yang kita lakukan di peringkat pusat.
“Saya mahu semua negeri melakukan benda sama dan mahu pemangkin yang berada di dewan ini menyambut apa yang dilakukan,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Penyelaras TVET Peringkat Kawasan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad Zahid mengingatkan mana-mana penyelaras TVET yang dilantik di setiap Parlimen agar menjayakan program tanpa perlu menunggu arahan kerajaan.
“Soal siapa yang memulakan itu tidak penting, satu kejayaan itu tidak boleh dituntut oleh seseorang tokoh atau seseorang individu.
“Kejayaan itu mesti dikongsi oleh semua katelis, semua pemacu seperti saudara saudari lebih daripada apa yang harapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette